KUALA LUMPUR – Penawaran kuota FiT 2.0 bagi tahun 2025 dijangka berupaya menjana pelaburan sebanyak RM2.1 billion dan mewujudkan sebanyak 4,514 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung dalam industri tenaga boleh baharu.

Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia berkata, projek-projek tenaga boleh baharu ini dijangka boleh menjana dan membekalkan elektrik mulai tahun 2028 hingga 2030.

Langkah ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam pembangunan sektor tenaga boleh baharu di samping menyokong sasaran 40% menjelang tahun 2035 dan 70% menjelang tahun 2050.

Sejak mekanisme FiT diperkenalkan pada tahun 2011, sejumlah 1,271.69 MW kuota FiT telah diluluskan bagi kesemua sumber boleh baharu yang melibatkan sebanyak 9,644 projek di Semenanjung Malaysia.

Terdahulu, SEDA mengumumkan  permohonan kuota tarif galakan (FiT) sebanyak 190 MW bagi tahun 2025.

Permohonan kuota FiT boleh dimohon secara e-bidaan dalam talian melalui sistem e-FiT bermula 15 Januari 2025 sehingga 19 Februari 2025 yang merangkumi pecahan kuota sebanyak 50 MW bagi biogas, 40 MW bagi biojisim dan 100 MW bagi hidrokuasa kecil.

SEDA  telah menambah baik kaedah permohonan kuota FiT sedia ada dan memperkenalkan FiT 2.0 melalui konsep kadar tarif 2-Fasa.

Ia menetapkan kadar FiT bagi Fasa-Pertama untuk 10 tahun pertama.

Manakala, kadar FiT bagi fasa kedua akan dibida oleh syarikat-syarikat yang layak berdasarkan kadar tarif f lantai dan siling yang telah ditetapkan oleh SEDA Malaysia untuk baki 11 tahun seterusnya sehingga tamat tempoh perjanjian pembelian kuasa tenaga boleh baharu (REPPA).

Satu sesi taklimat turut diadakan kepada pemain industri dan pemegang taruh hari ini bagi memberi gambaran dan penjelasan yang lebih terperinci mengenai penawaran kuota FiT 2.0 ini.

Mekanisme FiT telah diperkenalkan pada tahun 2011 bagi menggalakkan penjanaan tenaga melalui sumber boleh baharu.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here