Mokhtar Yusof, salah seorang nelayan yang ditemui selamat. Gambar media sosial

CHUKAI – Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di perairan Kemaman pada Ahad lepas ditemukan selamat pagi tadi, kata Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim.

Beliau berkata, mangsa ditemukan oleh bot nelayan tempatan di lokasi 25 batu nautika Tenggara Kuala Kemaman di perairan Kuantan dan pihaknya menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa kira-kira 5.30 pagi tadi yang memaklumkan berkaitan penermuan itu.

“Mangsa ditemukan selamat oleh bot nelayan Pahang yang sedang menangkap ikan berdekatan lokasi tersebut. Sejurus terima panggilan saya telah mengarahkan bot Perkasa 49 untuk ke lokasi penemuan.

“Bot dinaiki kesemua nelayan itu dipercayai mengalami kerosakan bateri,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.

Muhammad Faisal berkata seorang daripada mangsa iaitu tekong bot Mokhtar Yusof, 69, yang demam  dibawa pulang menaiki bot Perkasa 49.

Bot yang rosak bersama dua lagi mangsa Mohd Syukri Mokhtar, 46, dan Mohd Nasir Yusoff, 46, telah ditunda menggunakan bot nelayan lain pada 12 tengah hari tadi dan dijangka tiba di Jeti Pangkalan Hadapan Zon Maritim Kemaman kira-kira 4 petang.

“Bot Perkasa 49 yang membawa Mokhtar tiba di Jeti Pangkalan Hadapan Zon Kemaman kira-kira 10.50 pagi tadi,” katanya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here