Ganja yang dirampas dalam milikan sindiket berkenaan.

GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang didalangi lima individu termasuk tiga wanita dalam serbuan selama dua hari di negeri ini.

Operasi bermula jam 4 petang Selasa lalu sehingga 5 pagi semalam itu membawa kepada rampasan ganja seberat 26,233 gram bernilai RM115,000.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan membabitkan empat lokasi itu dilakukan secara serentak yang melibatkan penahanan suspek berusia 24 hingga 36 tahun.

Katanya, operasi terancang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang itu bermula dengan penahanan dua lelaki dan tiga wanita di sebuah kawasan tempat letak kereta di sini.

“Susulan itu, polis berjaya merampas tiga buah beg berzip pelbagai jenama yang mengandungi 35 bungkusan plastik lutsinar dadah jenis ganja seberat 20.1 kg bernilai RM65,960 bersama suspek.

“Pasukan serbuan kemudian menyerbu sebuah rumah di Ayer Itam dan merampas tiga bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja seberat 1.5 kg bernilai RM18,640.

Serbuan dilakukan di empat lokasi sekitar negeri ini.

“Turut dirampas, sembilan bungkus lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 4.6 kg bernilai RM30,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan sama, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC bernilai RM5,000.

Tambah Hamzah, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif dalam kegiatan mengedar ganja untuk pasaran tempatan sejak pertengahan tahun ini.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga tangkapan positif dadah jenis THC dan methamphetamine manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Ksemua suspek direman selama seminggu sehingga 22 Oktober depan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here