Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap dalam sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket membeli dan menjual semula wang palsu menyasarkan mangsa rakyat Malaysia akhirnya terbongkar.

Tiga suspek yang dipercayai mendalangi sindiket itu berjaya ditumpaskan menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah kondominium sekitar ibu negara pada 2 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua yang ditahan itu adalah warga Sierra Leone.

“Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dipercayai adalah dalang utama aktif terlibat dalam kegiatan wang palsu itu.

“Siasatan polis mendapati sindiket ini memulakan kegiatan mereka sejak awal tahun 2024 dengan cara membuat pembelian wang palsu melalui TikTok dengan harga RM6.97 untuk 10,000 keping.

“Kemudian suspek akan menjual semula wang palsu berkenaan kepada pembeli di Malaysia dengan harga RM1,000 untuk 10,000 keping,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Ramli, siasatan lanjut juga mendedahkan  sindiket itu mendapatkan wang palsu berkenaan dari negara China.

Menerusi serbuan di kondominium berkenaan, pasukan polis berjaya merampas empat keping wang kertas USD100, dua keping kertas kosong bersaiz note USD100, satu kotak berwarna perak, empat unit telefon bimbit, pasport dan dua buah kereta jenis Naza Forte dan Proton Iriz.

“Kesemua suspek terbabit kini ditahan direman sehingga 21 Oktober ini di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk membantu siasatan lanjut.

“Siasatan polis setakat ini turut mendapati ketiga-tiga yang ditahan telah masuk ke Malaysia sebagai pelajar di sebuah universiti swasta di Selangor.

“Manakala dua daripada mereka telah masuk ke Malaysia sejak tahun 2022 dan seorang lagi pada tahun 2024.

“Polis turut menjalankan siasatan kes ini di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan sedang diteruskan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here