KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menandatangani memorandum kolaborasi akademik bersama tiga buah institusi pendidikan iaitu University Network for International Education, Hanyang University dan Seoul National University of Science and Technology, Korea Selatan hari ini. 

Naib Canselor UPTM, Prof Madya Dr. Sharifah Syahirah Shiekh berkata, ia bagi meningkatkan prestasi global UPTM dan rakan kolaborasi akademik yang terlibat di peringkat antarabangsa.

“UPTM sentiasa percaya kepada kuasa kerjasama antarabangsa untuk meningkatkan lagi kedudukan akademik dan mencipta pengalaman pembelajaran yang luarbiasa khususnya kepada para pelajar kami.

“Gagasan utama kami adalah untuk memperluaskan lagi rangkaian kerjasama antarabangsa agar dapat mempromosikan perkongsian akademik, penyelidikan serta kepakaran terutamanya dalam bidang teknologi, inovasi dan pendidikan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, UPTM meramalkan akan ada peningkatan pertukaran pelajar dan fakulti daripada kedua buah institusi dan mendapat manfaat persekitaran akademik yang berbeza serta kepelbagaian budaya.

“Dalam pada itu, UPTM juga berhasrat memperluaskan kerjasama dengan institusi dari Indonesia, Thailand, Algeria dan Timor Leste termasuklah Universitas Semarang dan Universitas Borobudur,” ujarnya.

Terdahulu, UPTM telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa institut peniddikan dari beberapa buah negara, termasuklah CUI Ixtlahuaca, Mexico, Universiti Hong Kong, Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, Politeknik Xiangyang, China dan Universiti Sains Andalus, Syria dan kampus cawangan Turki.

Katanya, hasil melalui program mobiliti pelajar dari Hong Kong dan Mexico berpeluang terlibat dalam pertukaran akademik dan meneroka budaya masyarakat Malaysia di UPTM. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here