UTeM menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cohu Malaysia Sdn Bhd. bagi pemerkasaan inovasi teknologi pengeluaran dan penyelesaian sektor industri elektronik di rantau Asia Tenggara.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cohu Malaysia Sdn Bhd. bagi pemerkasaan inovasi teknologi pengeluaran dan penyelesaian industry elektronik di rantau Asia Tenggara.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kerjasama ini jelas menzahirkan impak berganda dalam konteks hubungan erat antara UTeM dan industri serta sumbangan kepakaran UTeM dalam penyelidikan teknologi pengeluaran dan automasi industri.

Jelasnya, dengan kepakaran UTeM dalam bidang kejuruteraan dan inovasi teknologi, sinergi ini dijangka memberi impak besar kepada perkembangan teknologi dalam sektor elektronik di rantau ini.

“Kerjasama ini tentunya memberi manfaat bagi kedua belah pihak untuk membangunkan penyelesaian automasi yang lebih efisien, selaras dengan keperluan industri semasa yang semakin kompleks.

“Ia juga bakal memacu inovasi dalam pengeluaran, meningkatkan kecekapan dan daya saing syarikat dalam pasaran global,” katanya.

Majlis pertukaran MoU tersebut telah dihadiri Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Profesor Ir. Dr. Hambali bin Arep @ Ariff mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabngsa) UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim manakala Cohu Malaysia diwakili oleh Naib Presiden Cohu Malaysia Stephane Luthi.

Majlis tersebut telah berlangsung di kilang berkenaan di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerjasama ini juga memberi kelebihan kepada pelajar dan graduan UTeM dalam konteks latihan industri dan peluang kerjaya di sini.

Sementara itu, Naib Presiden Cohu Malaysia Sdn Bhd, Stephane Luthi optimis terhadap potensi kerjasama ini kerana UTeM merupakan rakan kongsi.

“Kami berharap lebih ramai graduan UTeM akan menyertai Cohu di masa hadapan, memandangkan peluang latihan industri dan program Work Based Learning (WBL) ini memberi pendedahan yang penting kepada pelajar untuk berkembang dalam industri automasi,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here