Persembahan teater bertajuk At-Taubaah dari UTHM.

 

BATU PAHAT Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima dana daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk pementasan teater bertajuk ‘At-Taubah’ sempena Pementasan Teater Karya Sasterawan Negara Peringkat Kebangsaan 2024, Pusat Kebudayaan Universiti (PBU),

Daripada lebih 100 institut pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia, UTHM telah berjaya terpilih mewakili zon selatan bersama beberapa universiti lain iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mewakili zon tengah.

Manakala Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mewakili zon Malaysia timur Sarawak, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewakili zon Malaysia timur Sabah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mewakili zon utara dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mewakili zon timur.

UTHM membawa naskah bertajuk ‘At-Taubah’ karya dan arahan Rosdi Abdullah, Pegawai Kebudayaan dari PBU.

Teater itu mengisahkan tentang dua wanita yang mahu bertaubat dan menuju ke jalan yang benar setelah melihat sendiri azab siksa para pendosa melalui mimpi yang mereka dialami.

Pementasan teater yang berlangsung pada 11 dan 12 Oktober 2024 itu adalah inspirasi daripada karya puisi Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan yang bertajuk ‘Mencari Ruang.’

Menurut Rosdi, pihaknya menerima sambutan hangat daripada warga kampus dan juga masyarakat setempat sepanjang dua hari teater berlangsung.

“Lebih 200 penonton hadir membanjiri Studio Aktiviti (Black Box) Kolej Kediaman Tun Syed Nasir, UTHM kampus induk untuk kedua-dua hari pementasan,” katanya.

Tambah Rosdi, pementasan teater itu juga melibatkan penyertaan seramai 40 pelajar dan juga masyarakat setempat.

“Para pelajar terbabit bukan sahaja diajar tentang ilmu lakonan tetapi juga tentang kemahiran insaniah dan kemahiran berkomunikasi.

“Karya teater ini juga mempunyai mesej kerohanian yang mampu menyentuh hati naluri para penonton yang hadir.

“Menyahut seruan UTHM, PBU telah berganding bahu membantu menyuburkan modal insan yang kreatif dan berinovasi berasaskan paradigma tauhid,” tambah Rosdi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast