Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap pada MalaysiaGazette selepas Pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI ketika di Dewan Rakyat Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah kesalinghubungan di kawasan luar bandar dan universiti awam dalam Belanjawan 2025.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, usaha itu seiring dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan kawasan terpencil dan institusi pendidikan tidak ketinggalan dengan keperluan itu.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) diperuntukkan dana RM120 juta membantu universiti awam.

“Sebanyak RM100 juta pula untuk membantu 1,000 pusat sebaran maklumat nasional (NADI) di seluruh negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kita lihat RM800 juta diperuntukkan untuk bagi program point of present membawa internet ke sekolah-sekolah luar bandar.

“Kita berhasrat untuk memastikan tiada komuniti yang tertinggal terutama dari segi kesalinghubungan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga memberi fokus untuk meningkatkan industri kreatif dengan pemberian peruntukan berjumlah RM65 juta bagi dana kandungan digital.

“Antaranya Filming In Malaysia Incentive (FIMI) sebanyak RM40 juta dan RM25 juta untuk program Belia Kreatif Madani.

“Kedua-dua ini adalah usaha kerajaan mempromosi dan memberi insentif menggalakkan penghasilan kandungan.

“Ia bukan hanya dalam kalangan pemain industri filem bahkan anak-anak muda,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here