Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala insentif yang diumumkan pada Belanjawan 2025 dimanfaatkan sepenuhnya dengan amanah dengan urus tadbir kewangan yang baik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah tersebut akan memelihara ketenteraman dan keamanan negara sejajar dengan usaha kerajaan mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara berteraskan ekonomi Madani.

“PDRM juga kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan berpaksikan integriti dan tata kelola yang terbaik dalam pasukan kami serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“PDRM menyambut baik dan menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan-peruntukan bernilai lebih RM1.12 billion yang bakal dinikmati secara langsung oleh seluruh warga PDRM dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan memperuntukkan lebih RM2.12 billion untuk aset khusus kepada PDRM dan agensi beruniform di bawah Kementerian dalam negeri KDN demi menjamin keselamatan melalui usaha bersepadu.

Menurut Razarudin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pembinaan beberapa pejabat polis baharu dengan kos RM2.1 bilion antaranya melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, IPD Petaling Jaya dan Balai Polis Tanjung Minyak, Melaka.

“Sebanyak RM560 diperuntukkan untuk untuk memperkasa sempadan negara antaranya membina dan menaik taraf ICQS di Rantau Panjang, Bukit Berapit dan Wang Kelian.

“Turut diumumkan adalah rancangan pembinaan dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung,Sabah serta membekalkan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.

“Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu juga memperuntukkan RM20 juta untuk memperhebatkan peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here