GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan pengumuman kerajaan berkaitan dengan perlindungan alam sekitar dalam Belanjawan 2025 sesuatu yang positif namun masih terdapat dasar yang dianggap kurang memadai.
SAM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyokong pengenalan cukai karbon terhadap sektor besi dan keluli yang merupakan penyumbang besar kepada pencemaran.
Bagaimanapun, SAM berpandangan cukai karbon sepatutnya dilaksanakan tahun depan bukan pada 2026.
“Bagi peningkatan dalam Pemindahan Fiskal Ekologi kepada negeri-negeri bagi usaha perlindungan dan pemuliharaan yang ditingkatkan daripada RM200 juta kepada RM250 juta pula dilihat masih belum cukup signifikan untuk menggalakkan negeri-negeri memelihara hutan dan biodiversiti.
“Selain itu, kami juga mengalu-alukan usaha kerajaan yang meneruskan usaha mitigasi banjir dalam Belanjawan 2025, namun pendekatan itu sepatutnya perlu ke arah ekosistem daripada bergantung kepada penyelesaian infrastruktur dan kejuruteraan.
“Kita juga menyambat baik pengenalan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga yang telah lama tertangguh, namun menggesa agar pelaksanaannya segera dengan langkah-langkah yang jelas,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, SAM meluahkan rasa kekecewaan terhadap sokongan yang diberikan kerajaan kepada sektor nadir bumi (REE) dalam Bajet 2025 yang diumumkan hari ini.
Katanya, ia susulan pihaknya bimbang aktiviti perlombongan nadir bumi akan dilaksanakan di kawasan yang sensitif terhadap alam sekitar, yang bertentangan dengan usaha pemuliharaan hutan yang sedang dijalankan.
“Selain itu, pengecualian cukai yang diberikan untuk teknologi Penangkapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon sebenarnya akan menggalakkan penggunaan karbon untuk jangka masa panjang yang bertentangan dengan matlamat peralihan daripada bahan api fosil.
“Sedangkan teknologi ini kontroversial dan belum terbukti keberkesanannya sekali gus membawa risiko besar kepada alam sekitar dan masyarakat.
“Terakhir, kami kecewa kerana tiada pengecualian cukai diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar yang memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette