Friday, October 18, 2024
Home Seni Hidup Beg songket tenunan Kelantan jadi pilihan PM

Beg songket tenunan Kelantan jadi pilihan PM

Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beg dokumen berisi teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI ketika hadir ke Dewan Rakyat Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Perbendaharaan bersama-sama dokumen yang paling dinanti-nanti hari ini iaitu dokumen Belanjawan 2025 Malaysia Madani untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menggayakan sepasang baju Melayu satin berwarna kelabu cair, Anwar mencuri perhatian dengan beg fail berwarna hitam dan bermotifkan tenunan kerawang emas digunakan untuk membawa dokumen tersebut.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), kerja seni tenunan songket beg fail dokumen Belanjawan 2025 itu dihasilkan oleh pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan, manakala beg direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang.
“Tenunan songket membawa nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung dan ia bersesuaian dengan peri pentingnya dokumen Belanjawan 2025 ini. Selain mengangkat martabat si pemakainya, ia melambangkan kedudukan tinggi si pemakainya.
“Selain tenunan songket di bahagian luar, beg ini turut menerapkan kombinasi saree bagi lapisan dalam,” menurut MOF.
Ini merupakan Belanjawan kali ketiga yang akan beliau bentangkan selaku Menteri Kewangan.
Dalam catatan di laman media sosialnya, Perdana Menteri berkata, Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pastinya akan memberi manfaat buat rakyat terbanyak selain memperkukuh ekonomi dan pembangunan negara, Insya-Allah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here