Datuk Seri Dr Mujahid Yusof .

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 bukan sahaja realistik tetapi juga komprehensif, dan inklusif dengan fokus pembelaan terhadap semua lapisan masyarakat.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, rakyat berasa lega dengan pengumuman untuk meneruskan dan memperkasa Program Payung Rahmah.

“Jumlah RM700 juta untuk saluran program Rahmah jelas satu keutamaan Kerajaan Madani bagi menangani kos sara hidup bagi golongan yang terkesan.

“Ini ditambah lagi dengan bantuan SARA dan STR bernilai RM13 billion untuk memberi manfaat kepada 9 juta penerima dan merupakan terbesar sejak diperkenalkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mujahid, isu keterjaminan makanan terus diberi fokus dengan tambahan RM300 juta dengan fokus penanaman bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan tanaman padi di Negeri Sembilan, termasuk inisiatif penanaman padi untuk 5 musim sudah tentu memberi impak positif bagi menjana sektor pertanian domestik dan mengurangkan import bahan makanan asasi dari luar negara.

Tambah beliau, kewangan Islam terus diberi tumpuan dengan kedudukan Malaysia yang menjadi destinasi kewangan Islam dalam senarai 10 terbaik di dunia.

“Untuk itu RM100 juta diperuntukkan untuk penerokaan modal Islam (IVC) melalui kaedah Musyarakah dan Mudharabah,” ujarnya.

Mujahid berkata, Amanah optimis Belanjawan 2025 akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia dan geopolitik global yang terus bergolak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here