Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, ketika sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kesal dengan sikap rakyat Malaysia yang masih terjerat dalam iklan skim penipuan pelaburan saham di media sosial walaupun sudah berulang kali dinasihatkan bahawa ia adalah penipuan semata-mata.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan seorang lelaki 60 tahun mengalami kerugian RM406,654 kerana menyertai skim pelaburan saham yang diiklankan di Facebook amat mengecewakan.

“Adalah amat mengecewakan kerana setelah berulang kali diberitahu, diberi peringatan, masih ada yang membuat pelaburan besar hanya kerana percaya dengan iklan melalui media sosial.

“Tidakkah mereka tahu wang yang mereka salurkan adalah ke akaun keldai? Tidak terfikirkan mereka bahawa pelbagai akaun yang digunakan dengan pelbagai alasan yang diberikan scammers itu adalah penipuan yang nyata?

“Malah ada pula yang mempertikaikan nasihat PDRM seolah-olah kita tidak berlaku adil kerana pelaburan yang mereka sertai itu kononnya adalah tulen,” katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi ketegasannya dan menasihatkan orang ramai bahawa semua pelaburan yang ditawarkan melalui platform media sosial adalah penipuan.

“Semua, tiada pengecualian kerana walaupun asal tawaran adalah betul, scammers akan mencuri peluang dan menjurus bakal pelabur ke platform penipuan mereka.

“Lebih baik jangan mempercayai langsung pelaburan di media sosial. Jangan jadi golongan haloba,” ujarnya lagi.

Menurut Ramli, berdasarkan rekod polis, sebanyak 4,355 kes penipuan pelaburan telah dicatatkan sejak Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah terbabit sebanyak 3,574 kes atau 82 peratus adalah kes penipuan pelaburan yang berpunca dari media sosial iaitu Telegram (1,506 kes), Facebook (1,068 kes) dan Whatsapp (1,000 kes).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan sekali lagi penawaran saham IPO (Initial Public Ordering) melalui media sosial melibatkan saham di luar negara  berkemungkinan besar satu penipuan.

Kata Ramli, penawaran saham ini hanyalah untuk memancing mangsa supaya membuat pelaburan besar yang kononnya menghasilkan keuntungan yang besar hasil IPO tersebut.

“Sebenarnya, tawaran sebegini adalah taktik yang digunakan scammers untuk
memperdaya mangsa dengan cara memanipulasi perasaan tamak haloba dalam kalangan pelabur.

“Berhenti percaya kepada tawaran sebegini. Perlu juga diketahui IPO mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Bakal pelabur yang berminat dengan tawaran IPO disarankan agar untuk membuat pengesahan penawaran tersebut dengan SC sebelum membuat pelaburan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dan kerugian wang hasil titik peluh anda,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast