Mangsa lelaki terbaring selepas motosikal ditungangnya berlanggar dengan sebuah van di Jalan Londang- Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Alor Gajah, malam tadi yang turut mengakibatkan isterinya maut.

ALOR GAJAH – Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas motosikal dinaiki berlanggar dengan sebuah van di Jalan Londang-Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa, pengawal keselamatan, Suhaila Zainudin, 48, yang cedera di kepala disahkan meninggal dunia pada pukul 10.10 malam ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suaminya, Mohd Jamain Yusof, 50, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bagaimanapun hanya cedera di kaki kiri.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika motosikal ditunggang tukang kebun itu keluar dari bahu kiri jalan hendak menuju ke Masjid Tanah dari Tanjung Bidara.

“Pada waktu itu, datang sebuah van dari arah sama dipandu lelaki berusia 70 tahun dan berlanggar dengan mangsa mengakibatkan mereka terjatuh sebelum kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, pembonceng wanita itu yang cedera di kepala bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.10 malam ketika sedang menerima rawatan.

“Proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui sebab kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast