Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menunjukkan antara kenderaan import terpakai yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pelabuhan Klang, antara Ogos dan September tahun ini. Foto: NIZAM ZAIN, 14 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyambut baik peruntukan RM60 juta untuk jabatan tersebut seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disediakan itu.

“Ini bagi memastikan setiap sumber digunakan secara optimum dan berkesan demi memperkukuh kawalan dan keselamatan pintu masuk negara.

“Selain itu, peruntukan yang diberikan turut menyuntik semangat warga JKDM untuk terus menggandakan usaha secara berterusan dalam meningkatkan kutipan hasil serta menangani ketirisan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta JKDM diperuntukkan sebanyak RM60 juta menerusi Belanjawan 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu bertujuan mempertingkat usaha penguatkuasaan dalam membanteras ketirisan wang rakyat.

“Sejak 2022 hingga September 2024, KPDN dan JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah hampir RM2 bilion,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen, hari ini.

Dalam usaha untuk memecahkan penguasaan kartel, Anwar berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut menerima peruntukan sebanyak RM27 juta.

“Setakat September 2024, MyCC berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida dengan penalti berjumlah hampir RM600 juta melibatkan lebih 350 syarikat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here