KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan 85 peratus rakyat terbanyak akan terus menikmati pemberian subsidi untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan dalam usaha untuk mengurangkan kos sara hidup.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, rasionalisasi subsidi yang dilakukan kerajaan bukan sahaja untuk tujuan penjimatan, bahkan ia digunakan untuk meningkatkan bantuan kepada rakyat.
“Fokus kerajaan untuk memastikan penerima bantuan termasuk kebajikan bukan sahaja berkelayakan tapi sepatutnya menerima, sebagaimana sewaktu menguruskan subsidi elektrik sebelum ini.
“Cuma kumpulan teratas sebanyak 15 peratus tidak lagi menerima subsidi elektrik, begitu juga banyak subsidi lain, kita akan ke arah itu untuk memastikan rakyat terbanyak 85 peratus terus mendapat manfaat dan terus dibantu
“Mekanisme lebih tersusun, tepat dan berasaskan kepada data,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata, dalam usaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, kerajaan buat kali pertama akan memperkenalkan bantuan khas kepada golongan kanak-kanak khususnya pesakit autisme.
“Ini termasuk usaha kerajaan untuk membina sekolah-sekolah khususnya kepada kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas ini.
“Ini merupakan kali pertama dalam sejarah di mana ia diusahakan,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan ingin memastikan bukan hanya pendapatan negara meningkat, bahkan tapi gaji rakyat juga ada pertambahan, sama ada penjawat awam mahupun kakitangan swasta.
“Ini terbukti bermula 1 Disember ini, penjawat awam SSPA akan menikmati kenaikan gaji kecuali bagi kumpulan turus.
“Mereka telah bersetuju untuk tidak menikmati kenaikan gaji 7 peratus, kumpulan ini sangat kecil, tapi gaji mereka mencukupi dan mereka bersedia untuk bersama dengan para menteri yang terus dikenakan potongan gaji 20 peratus.
“Kita lihat bagi pekerja swasta, pertama ada kenaikan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 manakala bagi pekerja asing, akan dikenakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berfasa,” katanya.
Fahmi juga berkata, kerajaan akan memperluaskan program dasar gaji progresif dengan peruntukan yang lebih dan beliau akan dapat memanfaatkan lebih ramai pekerja swasta menikmati kenaikan gaji pada tahun hadapan.
“Kita lihat kerajaan akan terus memberi fokus kumpulan yang memerlukan dan ini kita takrifkan sebagai semua kecuali golongan maha kaya dan warga asing.
“Jadi semua yang lain terus terbela, bantuan diteruskan dan ditingkatkan. Kita lihat bagi pesara tentera contohnya menikmati peningkatan dari RM300 kepada RM500, pesara kerajaan juga akan menikmati kenaikan apa yang mereka terima selama ini.
“Ini secara umumnya adalah petanda bahawa kita berusaha dengan gigih untuk membina sebuah negara Madani,” katanya. – MalaysiaGazette