Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 berkuatkuasa 1 Februari tahun depan kepada majikan yang mempunyai lebih lima pekerja menerima respon positif. 

Malah keprihatinan kerajaan memberikan tempoh kepada majikan mikro sekurang-kurangnya enam bulan untuk melaksanakannya andai mempunyai bilangan kurang dari lima orang dialu-alukan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Dalam satu kenyataan, kata presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memahami serta mengambil kira cabaran sedang dihadapi oleh PKS dalam menentukan kadar gaji minimum baru.

Katanya, kerajaan memberikan tempoh yang munasabah kepada majikan untuk melaksanakan gaji minimum terutamanya bagi perniagaan mikro yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

“MEF juga berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia,  Steven Sim kerana sentiasa dekat dengan pihak berkepentingan, majikan dan kesatuan serta memahami cabaran di lapangan.

“Kita juga menghargai Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang sentiasa berbincang ahli-ahli MPGN sebelum mencapai keputusan sebulat suara melalui kata sepakat.

‘MPGN telah menyerahkan cadangan semua pihak kepada kerajaan mengenai semakan kadar gaji minimum.

“Perincian teknikal semakan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal MPGN yang melibatkan pengumpulan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk majikan dan pekerja,” katanya.

Menurutnya, adalah penting untuk pihak berkepentingan memahami bahawa majoriti perniagaan di Malaysia adalah PKS.

Jelasnya, dalam kalangan PKS sendiri terdapat perbezaan antara perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar.

“Oleh itu, sebarang keputusan untuk menyemak gaji minimum perlu mengambil kira semua faktor ini. Gaji minimum tidak pernah menjadi isu bagi syarikat multinasional seperti MNC, GLC, GLIC dan syarikat tempatan besar sebaliknya lebih kepada PKS,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Syed Hussain lagi, gaji minimum baru RM1,700 hanya merupakan titik permulaan kerana kebanyakan majikan boleh membayar lebih tinggi daripada jumlah berkenaan.

“MEF menggesa majikan yang mampu membayar gaji lebih tinggi agar berbuat demikian. Tiada sesiapa yang sepatutnya menggunakan gaji minimum sebagai alasan untuk membayar gaji pada kadar minimum.

“Adalah amalan yang beretika dan baik bagi majikan untuk membayar gaji berdasarkan prestasi pekerja dan perniagaan mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here