KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengalu-alikan langkah kerajaan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan, berkuat kuasa 1 Februari 2025.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, peningkatan gaji minimum itu akan meningkatkan pendapatan lantai rakyat sebelum ini sebanyak 13.3 peratus sejajar dengan misi strategik 3K KESUMA iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja.
Namun katanya, demi memberi ruang kepada usahawan kecil membuat penyelarasan, penguatkuasaan kadar baharu itu kepada majikan dengan lima orang pekerja ke bawah ditangguhkan sehingga 1 Ogos 2025.
“Untuk makluman semua, sukacita dimaklumkan bahawa kadar baharu ini telah dipersetujui secara sebulat suara dan konsensus oleh wakil pihak majikan, wakil pihak pekerja serta kerajaan dalam MPGN.
“Perintah Gaji Minimum baharu ini juga adalah seragam di seluruh negara tanpa mengira wilayah. Pengumuman ini juga adalah sebahagian daripada usaha KESUMA dalam rangka menambah baik pendapatan golongan pekerja secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, gaji minimum tidak harus dijadikan gaji permulaan khususnya untuk para graduan dan pekerja yang berkemahiran.
Sebaliknya, selain pelaksanaan gaji minimum, strategi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekerja termasuk melaksanakan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai langkah baharu untuk mereformasi pasaran buruh dengan tujuan meningkatkan gaji pekerja seiring dengan peningkatan produktiviti dan pengalaman.
“Pelbagai latihan pemerkasaan peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja akan giat dilaksanakan oleh Kesuma sebagai usaha memastikan kadar gaji meningkat selaras dengan kemahiran serta keberhasilan pekerja.
“Kita buat julung kalinya akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan berdasarkan Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO). Garis panduan ini adalah rujukan kepada pekerja dan majikan dalam menentukan kadar gaji permulaan yang sesuai bagi sesuatu pekerjaan.
“Sebagai pelengkap kepada usaha-usaha yang disebut, KESUMA juga telah menguatkuasakan pindaan baharu kepada undang-undang berkaitan kesatuan sekerja mulai 15 September 2024 yang antara lain mengurangkan kekangan kerajaan terhadap penubuhan kesatuan sekerja bagi memperkasakan kuasa pekerja menuntut pampasan serta keadaan pekerjaan yang lebih baik, termasuk gaji yang lebih baik.
“Kadar gaji minimum yang diputuskan ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan bagi memastikan kebajikan pekerja terutama pekerja yang berpendapatan rendah lebih terjamin, selain mengangkat martabat dan mengutamakan rakyat. Majikan juga terima manfaat daripada kuasa beli pengguna selepas ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette