Khairulnizam Kasim

MELAKA – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter menyifatkan Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini sebagai bajet yang mengecewakan kerana tidak membela nasib mereka.

Pengerusinya, Khairulnizam Kasim berkata, tiada apa-apa yang terkandung di dalamnya dapat membantu menangani masalah pemain industri itu terutama untuk mengurangkan kos operasi yang semakin meningkat.

“Saya membawa suara pengusaha hotel kerana kami tidak melihat sebarang insentif atau pengecualian cukai untuk membantu kami mengatasi kelembapan perniagaan ketika ini.

“Sebaliknya, pengumumman gaji minimum sektor swasta yang dinaikkan kepada RM1,700 pula hanya menambah beban kewangan hotel,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairulnizam berkata, MAH juga tidak melihat peruntukan RM550 juta yang diumumkan Perdana Menteri untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 akan memberi manfaat secara langsung kepada mereka.

“Ini kerana, kami masih membiayai sendiri untuk semua aktiviti promosi sedangkan apa yang diharapkan adalah beberapa jenis pengecualian cukai akan diumumkan.

“Tiada juga disebut pengecualian cukai pendapatan yang dinikmati hotel satu hingga tiga bintang untuk diperluaskan kepada hotel empat dan lima bintang yang lain,” katanya.

Menurutnya, di bawah pengecualian itu, hotel satu hingga tiga bintang diberikan pelepasan cukai pendapatan 70 peratus selama lima tahun tetapi ini tidak terpakai untuk hotel empat dan lima bintang.

“Ramai antara kami merasakan harapan kami dalam Belanjawan 2025 ini seperti diabaikan walaupun kami sentiasa menyuarakan kebimbangan ini dalam setiap pertemuan dengan kementerian berkaitan sejak beberapa tahun lalu.

“Malah, tiada juga faedah diumumkan untuk menggalakkan pemain industri mengamalkan teknologi hijau, inovasi digital dan menyediakan insentif untuk pembangunan sumber manusia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast