Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) menyifatkan peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 untuk penyelenggaraan serta penambahan asset kapal baharu kepada agensi berkenaan sebagai tepat pada masa.

Sambil mengucapkan penghargaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pengumuman berkenaan menandakan komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan justifikasi kukuh tentang keperluan mendesak agensi ini kepada pihak kerajaan.

Ia terutamanya dalam usaha menjaga keselamatan perairan negara khususnya di perairan Laut China Selatan.

“Penambahan aset ini adalah tepat pada masanya kerana Maritim Malaysia kini berhadapan kekangan keupayaan aset dalam menjaga menjaga keselamatan di Zon Maritim Malaysia terutamanya di kawasan sempadan perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyatakan keyakinannya peruntukan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 yang bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ itu akan menambah kepercayaan masyarakat tentang keprihatinan kerajaan menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Pada sesi pembentangan belanjawan hari ini, Perdana Menteri telah mengumumkan perolehan baharu aset laut kepada Maritim Malaysia iaitu terdiri daripada sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship dan dua buah Kapal Ronda Generasi Baharu.

Anwar turut mengumumkan peruntukan baik pulih dan penyelenggaraan bagi enam buah kapal di bawah Ship Life Extension Programme Fasa 2 yang akan diterima pada tahun 2025.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here