Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Sekarang bukan masanya untuk melaksanakan projek mega, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Sebaliknya, pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

Projek-projek di Perak ialah Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) sebagai hab hijau berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara yang diterajui oleh SD Guthrie dan PNB; Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang.

Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif negara dipacu oleh Proton dan Geely dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai hab industri maritim serantau.

Di Pahang Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan sungai-sungai; pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands dengan menaik taraf Jalan Dari Bulatan McDonalds ke Persimpangan Brinchang.

Johor pula projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap; Projek RTS Johor-Singapura yang dijangka beroperasi pada 2027 dan Projek Pembinaan Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.

Di Kelantan projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang; Projek Pemanjangan Landasan Kapal Terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Manakala di Melaka, pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah, pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral.

Perlis pula projek pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta naik taraf Jalan Persiaran Wawasan, Kangar daripada dua kepada empat Lorong dan Projek naik taraf Pos Kawalan dan pembinaan blok baharu di Kompleks ICQS Wang Kelian.

Selangor melibatkan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2; pembesaran Pelabuhan Klang ke arah aspirasi sebagai 10 pelabuhan terbaik dunia.

Kerajaan akan melebarkan jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang.

Kedah melibatkan pembesaran Kulim Hi-Tech Park yang akan menempatkan syarikat semikonduktor seperti Infineon dan pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Kulim.

Kuala Lumpur melibatkan pembangunan Rantau Warisan dengan membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara oleh Khazanah.

Projek Lebuh Raya Laluan Istana – Kiara (LIKE) daripada Jalan Duta ke Jalan Istana.

Negeri Sembilan membabitkan Projek Naik Taraf Jalan Bahau-Keratong, Jempol dan projek naik taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah.

Pulau Pinang melibatkan Projek LRT Pulau Pinang; Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan projek Batu Kawan Industrial Park 3.

Sementara Terengganu membabitkan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus; Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark, Merchang dan projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau.

Tambahnya, peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 billion.

Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969, di bawah Kerajaan Madani telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah).

Mulai 2025, Kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta.

Belanjawan 2025 adalah tertinggi pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Anwar  berkata, kerajaan terus mengekalkan Belanjawan mengembang meskipun bertekad mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.

Selain peruntukan pembangunan oleh kerajaan, projek secara usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai RM9 bilion turut dilaksanakan serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC bernilai RM25 billion.

Ini menjadikan pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 yang berjumlah RM120 bilion. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here