KAJANG – Polis telah mengklasifikasikan penemuan mayat seorang gadis remaja dalam keadaan terbaring dan melecur di sebuah rumah Saujana Impian di sini sebagai mati mengejut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya telah laporan polis mengenai insiden kebakaran tersebut pukul 4.20 petang Khamis lalu.
“Hasil siasatan pihak forensik bomba dibantu Pasukan Forensik PDRM telah menemui satu mayat dalam keadaan terbaring dan melecur di dalam bilik tingkat atas rumah dipercayai perempuan berumur 17 tahun yang semasa kejadian berseorangan.
“Punca kejadian disyaki litar pintas di tingkat bawah rumah sebelum api marak membakar sehingga ke tingkat atas rumah dan kebakaran menyebabkan 60 peratus rumah dijilat api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Naazron, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan pada 9 pagi Jumaat mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas akibat menyedut asap kebakaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette