Orang awam mengisi minyak kenderaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2025 di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR- Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan paling selesa dan stabil ketika ini didorong oleh kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi yang semakin baik dan pengukuhan ringgit.

Sehubungan itu, Putrajaya dilihat akan menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah dirangka untuk menambahbaik kedudukan kewangan negara.

“Bila sudah ada kestabilan politik, dasar pula sudah dirangka dan sedang dilaksanakan maka isu-isu seperti kesenjangan pendapatan, ketidakseimbangan perbelanjaan kerajaan perlu ditangani segera.

Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

“Jika kita tengok subsidi RON95 memang memberi manfaat kepada orang kaya dan itu sebenarnya sudah tidak seimbang.

“Maka apabila sudah ada kestabilan politik, ia membuka ruang untuk kerajaan membetulkan keadaan.

“Memang ia bukan langkah popular tetapi dalam keadaan semasa, rasionalisasi subsidi RON95 boleh dilaksanakan,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Mualamat, Dr Afzanizam Mohd Rashid kepada MalaysiaGazette.

Namun begitu, beliau berharap pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dapat dilaksanakan dengan bijaksana kerana “petrol kuning” itu mempunyai pemberat yang tinggi iaitu lima peratus dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding diesel sebanyak 0.2 peratus sahaja.

Katanya, jika dilaksanakan tanpa perancangan rapi, ia bakal memberi impak buruk kepada pengguna dan kadar inflasi kerana RON95 lebih banyak digunakan rakyat berbanding diesel yang telah melalui proses rasionalisasi subsidi sejak 25 Mei lalu.

Dengan itu, Dr Afzanizam menjangkakan kerajaan akan menambah peruntukan bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta meluaskan skop penerima sumbangan tersebut bagi membolehkan lebih ramai rakyat terjejas akibat penyasaran subsidi dapat dibantu.

Untuk rekod, STR dan SARA ditingkatkan kepada RM40 bilion dan memanfaatkan hampir sembilan juta isi rumah termasuk warga emas tiada pasangan dan individu bujang pada 2024.

Secara purata, bantuan maksimum isi rumah dinaikkan kepada RM3,100 kepada RM3,700 setahun manakala kadar minimum bagi individu juga ditambah kepada RM500 berbanding RM300 sebelum ini.

“Apabila konsolidasi fiskal dilaksanakan, harga barang memang akan naik maka bantuan wang tunai perlu diberikan sebagai langkah mitigasi untuk meningkatkan kuasa beli rakyat.

“Skop penerima juga saya jangka akan diperluas kerana jika harga RON95 diapungkan, secara teorinya kita bercakap mengenai penjimatan berbilion ringgit.

“Katakan, kita dapat penjimatan sebanyak RM20 bilion setahun dan kerajaan ambil RM10 bilion daripada jumlah itu untuk menambah bantuan, saya rasa ini akan melegakan rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang akibat penyasaran subsidi,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kemungkinan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak diperkenalkan semula pada tahun ini, Dr Afzanizam berpendapat, langkah itu dapat mengurangkan impak inflasi sekiranya penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan.

“Kerajaan telah mula melaksanakan konsolidasi fiskal termasuk menerusi penyasaran subsidi. Bermula dengan diesel dan diikuti RON95 dan seterusnya GST.

“Ini yang saya maksudkan dengan kebijaksanaan pembuat dasar apabila mereka mengumumkan sesuatu langkah yang perlu dibuat tetapi membawa kesan terhadap rakyat, mereka lakukan secara mengikut susunan.

“Tidak boleh lakukan serentak (rasionalisasi diesel, RON95 dan GST) serentak, habislah,” katanya lagi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2025 petang ini.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here