KOTA KINABALU – Sejumlah 34 kontinjen daripada pelbagai Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JAFPIB) di Universiti Malaysia Sabah (UMS)
termasuk jawatankuasa kepimpinan pelajar di kolej kediaman, persatuan dan kelab telah terlibat dalam menjayakan acara perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul
1446H Peringkat UMS 2024.
Para peserta kontinjen berhimpun di Dataran Dewan Canselor UMS seawal jam 7 pagi bagi sesi penilaian Pertandingan Kontinjen Terbaik, sebelum semua peserta
berarak menuju ke Pusat Islam UMS bagi acara perasmian sambutan.
Perasmian sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.
Beliau dalam ucapannya menekankan keperluan umat Islam untuk mengadakan program-program keagamaan yang dapat meningkatkan keimanan dengan mengambil ibrah dari seluruh kehidupan Nabi Muhammad SAW.
“Kita harus menghayati pengorbanan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dakwah Islam, serta ciri-ciri kepimpinan Baginda yang telah berjaya
membentuk sebuah negara Islam yang dijulang tinggi dan disegani.
“Rasulullah adalah suri teladan untuk diikuti oleh seluruh umat Islam di muka bumi ini. Diharap agar sambutan seperti ini akan melahirkan warga UMS yang berkasih
sayang dan bekerjasama walaupun berbeza fikrah, budaya, bangsa dan agama,” katanya.
Dalam pada itu, Kasim berkata, sambutan tahun ini yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” sangat bertepatan dengan matlamat membangunkan masyarakat yang bertamadun dan memiliki pemikiran serta peradaban yang tinggi seiring dengan kemajuan dari sudut ekonomi dan pembangunan kebendaan.
“Salah satu elemen penting dalam memastikan pembangunan Malaysia Madani ialah perpaduan seluruh masyarakat, maka perpaduan melalui akhlak Islamiah dan nilai-
nilai murni harus dipupuk dan dibudayakan untuk mencapai Al-Falah.
“Jika kita berpecah-belah, berhasad dengki dan saling bersengketa, itulah penyebab kerosakan segala perancangan diri, universiti, seterusnya menggagalkan aspirasi
Malaysia Madani,” ujar beliau.
Bersempena dengan sambutan tersebut, Kasim turut menyempurnakan pelancaran Sistem E-Zakat, serta mendengar ceramah perdana yang disampaikan oleh Mufti
Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Bungsu @ Aziz Haji Jaafar.
Kontinjen Jabatan Pendaftar telah dinobatkan sebagai Johan Kontinjen Terbaik sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMS, sekali gus membawa pulang
hadiah bernilai RM1,000.
Kontinjen Kolej Kediaman Tun Fuad pula muncul naib johan, manakala Kontinjen Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan / Hospital UMS mendapat tempat ketiga. – MalaysiaGazette