Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan ekoran pendedahan anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad yang mendakwa dirinya menjadi mangsa keganasan.

Ia termasuk dakwaan dipaksa berkahwin dengan seorang pemimpin Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, siasatan itu dimulakan selepas Ummu Atiyah berusia 41 tahun membuat laporan polis.

Katanya, wanita itu mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar, Perak.

“Pengadu juga menyatakan perkampungan itu dihuni oleh ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 tahun dan ke atas.

“Dia mendakwa telah dikurung dalam sebuah bilik rumah setingkat selama kira-kira sebulan dan tidak diberi kemudahan menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang merupakan pengikut GISBH.

“Malah dia juga menyatakan telah beberapa kali cuba untuk melarikan diri dari perkampungan itu namun gagal selepas ditangkap oleh penghuni lain,” katanya.

Tambah Razarudin, pengadu juga menyatakan dia cuba melarikan diri kerana tidak tahan dengan perbuatan pengikut GISBH yang mengurungnya dalam bilik dan memisahkan mangsa dari anaknya.

Justeru mangsa juga pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping sekitar tahun 2018 itu masih dalam rawatan di Hospital Melaka.

“Laporan dan keterangan perubatannya sedang dalam proses diperolehi oleh polis untuk bantu siasatan.

“Mangsa juga akan hadir dan menunjukkan semula lokasi rumah dia dikurung di perkampungan itu (Perak) pada hari esok (Ahad) bagi membantu siasatan polis,” ujarnya.

Tegas Razarudin, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan kurungan secara salah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000.

Katanya, kini polis sedang mengesan empat lelaki yang telah terlibat dalam perbuatan jenayah iaitu mengurung mangsa bagi membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak sulung Abuya dakwa dipaksa kahwin, alami trauma teruk

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here