KUALA LUMPUR – Dana pembiayaan pendidikan berjumlah RM500 juta khusus untuk pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan graduan berkebolehpasaran tinggi yang sesuai dengan tuntutan industri.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata,  insentif pelepasan cukai pendapatan ke atas Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang dilanjutkan sehingga tahun 2027 juga merupakan bukti kesungguhan kerajaan menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai bidang tersebut.

“STEM merupakan satu daripada elemen kritikal bagi memacu ke arah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030 di samping melahirkan graduan anak muda yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi serta diperlukan oleh industri dan negara,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan lanjutan geran padanan atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN bagi pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada keluarga berpendapatan RM4,000 diperluaskan sehingga RM6,000 dengan jumlah geran maksimum sehingga RM5,000.

Inisiatif melalui ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI) itu bagi tempoh dua tahun.

Terdahulu, Norliza mengucapkan penghargaan dan mengalu-alukan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan pendidikan PTPTN dan akaun Simpan SSPN yang menjadi antara salah satu agenda Belanjawan 2025.

Ia termasuklah peluasan kriteria pemberian Geran Sepadan Simpan SSPN melalui ikhtiar GAPAI.

Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan akan memastikan PTPTN komited melaksanakan semua hasrat kerajaan menerusi belanjawan yang telah dibentangkan.

Beliau turut berharap rakyat negara ini terus memilih menjadikan Simpan SSPN untuk tujuan pendidikan tinggi.

“Masyarakat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai Kerajaan Madani yang amat prihatin dalam menyediakan keperluan masyarakat terutama daripada aspek bantuan kewangan bagi persediaan anak-anak untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih cemerlang,” tambahnya.

Sementara itu Norliza berkata, PTPTN akan membuat perincian selanjutnya berkenaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan idalam masa terdekat.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here