Gambar hiasan

KOTA TINGGI – Tidak sampai 24 jam melakukan samun dan mencederakan seorang pembantu kedai di sebuah pasar mini di Taman Kota, dua lelaki berjaya diberkas di Lokasi berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Susulan itu katanya, pihak polis mengesan dua suspek lelaki yang berusia 25 dan 26 tahun itu sebelum berjaya menahan kedua-duanya di dua lokasi berasingan di daerah ini.

“Kejadian berlaku ketika pembantu kedai berusia 27 tahun itu berada di pasar mini berkenaan.

“Berlaku pergelutan dan mangsa juga mengalami luka, namun tidak serius hanya sedikit di bahagian tangan kanan dan belakang kulit kepala,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, mangsa kerugian wang tunai RM300.

Menurutnya, pihak polis merampas sehelai seluar jeans pendek tidak berjenama, sebilah pisau pemotong daging, wang tunai RM284, sebuah motosikal Honda C100 dan satu topi keledar.

Katanya, hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek itu terbabit dalam kes terbabit.

Yusof berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap dua suspek itu mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Yusof memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-8837222.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here