Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan sebanyak 40 sen seliter merupakan satu langkah proaktif  memastikan kesihatan awam rakyat negara ini terus terjamin.

Pegawai Pendidikan CAP, NV. Subbarow berkata, langkah kerajaan itu penting dalam menangani penyakit yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan seperti diabetes dan obesiti yang semakin membimbangkan negara.

NV. Subbarow

Katanya, duti eksais baharu itu bukan sahaja dilihat sebagai langkah fiskal tetapi juga sebagai usaha untuk mengubah tabiat pemakanan rakyat.

“Pengumuman itu ibarat ‘berita manis tanpa gula’ dan CAP mengalu-alukan kadar sebanyak 40 sen seliter seperti yang diumumkan.

“Langkah ini terutamanya bertujuan untuk melindungi generasi muda yang sering mengambil minuman bergula berlebihan, sekali gus mengekang masalah kesihatan yang berpotensi membebankan sistem kesihatan negara.

“Tindakan kerajaan secara langsung menunjukkan komitmen untuk mengutamakan kesihatan awam dan memastikan rakyat Malaysia hidup dengan lebih sihat serta berkualiti,” katanya di sini.

Artikel berkaitan

Duti eksais minuman bergula naik 40 sen seliter tahun depan

Kerajaan semalam mengumumkan perang terhadap gula (war on sugar) dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar yang dikenakan adalah 40 sen seliter sebagai usaha selepas Malaysia menjadi antara negara paling obesiti di rantau Asia Tenggara dan gula adalah salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit.

“Tambahan hasil yang diraih melalui duti eksais itu akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here