Minta sedekah sambil menari tarian tradisional ala Maghribi, itu antara kegiatan dua lelaki warga asing yang dikesan sebelum dicekup di Bukit Bintang, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Minta sedekah sambil menari tarian tradisional ala Maghribi, itu antara kegiatan dua lelaki warga asing yang dikesan sebelum dicekup di Bukit Bintang, awal pagi tadi.

Difahamkan aktiviti dua lelaki warga Maghribi itu turut tular di media sosial dan dipercayai memperoleh pendapatan sebanyak RM200 sehari.

Pasukan KL Strike Force Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur membuat tangkapan pada pukul 1.30 pagi selepas mendapat aduan awam kerana kegiatan mereka merosakkan pemandangan ibu negara.

Salah seorang lelaki yang ditahan itu, Khalid, 30, berkata, tujuan mereka bermain alat muzik sambil menari untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan di sini.

Katanya, mereka akan membawa peralatan muzik serta pakaian tradisional Maghribi dari tanah airnya dan membuat ‘persembahan’ setiap hari bermula pukul 10 malam hingga 1 pagi.

“Kami datang ke sini sebagai pelancong dan tinggal di hotel berdekatan untuk tidur, main muzik untuk cari duit makan sahaja.

“Dalam sehari kami boleh dapat RM200, cukup untuk makan berdua setiap hari,” katanya pada pemberita di lokasi tangkapan.

Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff, semakan mendapati kedua-dua lelaki itu telah menyalahgunakan pas lawatan sosial (PLS).

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki Maghribi itu, mereka masuk ke Malaysia menggunakan PLS pada 11 Oktober bagi tujuan melancong.

“Susulan itu, tindakan akan diambil di bawah di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.

Tegas beliau, JIM Kuala Lumpur memberi peringatan kepada pelancong warga asing bahawa menggunakan pas pelawat untuk bekerja adalah salah termasuk mengemis.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here