Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar

JOHOR BAHRU – Seorang jurutera Singapura rugi RM1.9 juta selepas membuat bayaran ke dalam bank di Malaysia akibat tertarik dengan pelaburaan saham yang tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumbar berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga Singapura yang berusia 64 tahun kelmarin.

Menurutnya, warga emas tersebut mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan saham secara atas talian yang dilihatnya dalam satu Facebook.

“Semuanya bermula pada Disember 2023 semasa berada di Singapura, mangsa melihat iklan pelaburan dan telah menekan pautan diberikan untuk maklimat lanjut.

“Mangsa kemudiannya telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp pelaburan di mana mangsa telah diberikan penerangan cara-cara melabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa diberitahu hanya perlu mengerluarkan modal manakala urusan pelaburan akan dilakukan serta diuruskan sepenuhnya oleh pihak syarikat.

Mangsa dijanjikan pulangan antara 5 hingga 12 peratus daripada jumlah pelaburan dibuat.

“Oleh kerana berminat dan percaya dengan keuntungan dijanjikan, mangsa telah mengikut arahan suspek dengan memuat naik aplikasi yang diarahkan bagi tujuan pendaftaran dan memantau status pelaburan serta keuntungan yang diperoleh,” katanya.

Kumar memberitahu, pada Februari dan Mac lalu, mangsa telah memulakan pelaburan dengan membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam akaun bank di Malaysia seperti diarahkan dengan jumlah RM1,948,000.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal membuat pengeluaran wang keuntungan yang diperoleh sebagaimana dipaparkan dalam aplikasi yang dimuat turun bagi pelaburan berkenaan.

Mangsa katanya, turut diarahkan membuat pelbagai bayaran lain termasuk cukai sekiranya mahu mendapatkan semula modal yang telah dilaburkan.

Tambah Kumar, suspek juga gagal dihubungi selepas itu.

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun dan 10 tahun dengan sebat dan denda.

Kes juga disiasat bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum sehingga 10 tahun atau atau denda atau keduanya-duanya sekali.

“Polis kontinjen Johor menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan pelaburan ditawarkan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Orang ramai juga disarankan membuat semakan dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia bagi mengasahkan sama ada sesebuah syarikat atau pelaburan ditawarkan itu dilesenkan dan mendapat kebenaran agensi berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here