KUALA LUMPUR – Pengumuman kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 lagi kepada RM1,700 dalam pembentangan Belanjawan 2025 semalam disambut dengan rasa syukur dalam kalangan pekerja.
Meskipun begitu, golongan itu menaruh harapan kadar gaji minimun itu terus dinaikkan seiring dengan kenaikan kos sara hidup di negara ini.
Pekerja swasta, Noor Sharmilla Nina Mohd Fauzi, 28, melahirkan rasa gembira dengan kenaikan itu kerana kenaikan RM200 itu dapat memberi kelegaan kepada golongan pekerja yang bergaji kecil.
Namun, katanya, jumlah itu masih lagi belum berpatutan kerana kos sara hidup di ibu kota terlalu tinggi.
“Kalau tinggal di kampung mungkin sekadar cukup, tetapi di bandar dengan gaji minimum RM1,700 masih perlu ikat perut kecuali mengambil kerja lebih masa.
“Jadi untuk belanjawan akan datang saya cadangkan kadar gaji minimum dinaikkan sehingga RM2,000, itu mungkin selesa dengan syarat kadar kenaikan harga barangan dapat dikawal,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Seorang guru, Nurkhufazilah Nordin berpendapat, kerajaan mengambil langkah baik dengan pengumuman itu.
Namun, katanya, gaji sebanyak itu masih sukar jika seseorang itu sudah berkahwin, memiliki anak dan hidup berdikari.
“Cadangan ini sangat bagus, syukur tetapi masih struggle sebab kos sara hidup di bandar mahupun di pinggir bandar di Kuala Lumpur dan Selangor masih tinggi.
“Dengan gaji RM1,700 mungkin lepas untuk golongan bujang, yang berkahwin masih sukar,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga, Mohd Farid Ridhwan, 23, berpendapat, penetapan gaji minimum oleh kerajaan merupakan satu langkah penting dalam memastikan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan lepasan universiti.
Cuma, katanya, adalah lebih baik sekiranya penetapan ini dapat dibuat berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman.
“Dengan cara ini, mendorong rakyat Malaysia bekerja dengan lebih tekun, sekali gus meningkatkan produktiviti negara,” katanya.
Seorang pesara kerajaan, Sion Rahmad, 74, menyifatkan kenaikan gaji minimun tepat pada masanya kerana dapat membantu merangsang ekonomi rakyat.
“Sekarang ni semua mahal, walaupun naik RM200 sekurang-kurangnya dapat membantu rakyat mendapat lebihan pendapatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette