SYDNEY – Pantai di bandar Sydney, Australia telah dibuka semula untuk perenang selepas ditutup awal minggu ini apabila beribu-ribu bebola seperti tar hitam misteri dihanyutkan ke darat, menyebabkan kebimbangan kesihatan.
Pegawai berkata, ujian mendapati bebola itu terbentuk daripada bahan kimia yang serupa dengan kosmetik dan produk pembersih tetapi masih tidak jelas dari mana ia datang.
Lapan pantai termasuk Bondi – yang paling terkenal di bandar itu ditutup dan pembersihan besar-besaran diarahkan di tengah-tengah kebimbangan mendapan hitam itu adalah toksik.
Menteri Alam Sekitar New South Wales, Penny Sharpe berkata, siasatan berterusan dibuat untuk menentukan punca pencemaran dan siapa yang bertanggungjawab.
Pihak berkuasa maritim negeri berkata, bebola itu tidak toksik kepada manusia tetapi tidak boleh disentuh atau diambil.
“Berdasarkan nasihat daripada Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar, kami kini boleh mengesahkan bebola itu terdiri daripada asid lemak, bahan kimia yang konsisten dengan yang terdapat dalam produk pembersihan dan kosmetik, dicampur dengan beberapa minyak bahan api,” kata Pengarah Eksekutif Maritim New South Wales Mark Hutchings . – Agensi