Seorang peniaga menjual air minuman ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen MRT Kajang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia menyambut baik langkah kerajaan menaikkan duti eksais minuman bergula sebanyak 40 sen seliter secara berfasa bermula 1 Januari 2025.

Rata-rata mereka berkata, langkah itu dapat menyokong usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti yang semakin meningkat.

Meskipun begitu, mereka tetap bimbang kenaikan harga minuman bergula itu akan meningkatkan harga barangan lain sehingga meningkatkan lagi kos hidup.

Seorang peniaga, Amir Roselee, 32, berkata, kenaikan setinggi itu tidak wajar dengan keadaan ekonomi semasa.

“Sebagai seorang peniaga, langkah ni sedikit membebankan kerana kenaikan ini mendorong peningkatan harga barangan yang lain.

“Di  Malaysia ni, satu barang naik, kesannya berjangkit. Walaupun cadangan kerajaan murni tetapi pastinya ada yang ambil kesempatan dengan kenaikan cukai itu.

Amir Roselee

“Pelanggan akan berfikir dua kali sebelum membeli, dan ini pasti akan mengurangkan jualan.

“Bukan tak sokong agenda kerajaan dalam nak memerangi gula tapi pelaksanaanya perlu dilihat dari sudut ekonomi semasa,” katanya.

Seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Siti percaya kenaikan cukai itu akan memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Berikutan itu, beliau berharap pengeluar-pengeluar minuman tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya atas alasan kenaikan cukai eksais.

Siti

Dia mengakui bahawa isu kesihatan adalah penting dan menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar penyakit seperti diabetes, tetapi mahu agensi penguat kuasa proaktif dalam menangani kenaikan harga barang.

“Niat kerajaan baik tetapi rakyat juga ada pilihan ketika membeli. Janganlah disebabkan ini ada pihak mengambil kesempatan kepada pengguna.

“Dalam pada masa, kerajaan juga dicadangkan menurunkan harga air minuman mineral sebagai alternatif kepada orang ramai berbelanja,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja ekonomi gig, Noorsharizal Shahadan, 44, menyifatkan kenaikan cukai eksais bagi minuman bergula akan menambah beban kewangan orang ramai.

Noorsharizal Shahadan

Dia juga berpandangan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar penyakit dengan menaikkan harga minuman adalah tidak wajar.

Ia kerana, pemilihan makan dan minum bergantung kepada pilihan setiap orang.

“Kalau diorang nak minum, minum juga. Penyakit seperti obesiti ni berbalik pada diri sendiri, diri sendiri yang kena ubah cara hidup. 

“Jika kita sendiri tak nak buat perubahan, jadi penyakit tu tetap datang. Pilihan sihat tu ada ditangan masing-masing,” jelasnya.

Katanya, dia lebih gusar jika kenaikan cukai ini diambil kesempatan oleh pengeluar dan peniaga yang tidak bertanggungjawab,

Oleh itu, beliau meminta kerajaan memantau sebarang kenaikan cukai ini tidak menjejaskan harga barang lain.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula adalah bertujuan menyokong gerakan Perang Terhadap Gula atau ‘War On Sugar’ yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 29 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam termasuk penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi rawatan diabetes. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast