Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran.

KUALA LUMPUR – Kerajaan melakukan langkah bijak apabila mengumumkan peruntukan besar sebanyak RM1.35 bilion untuk menaik taraf kemudahan kesihatan yang usang termasuk menambah baik wad-wad lama.

Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berkata, banyak hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berusia lebih 100 tahun dan amat memerlukan pembaikan serta naik taraf.

“Di negeri kelahiran saya, Pulau Pinang, empat daripada enam hospital awam, iaitu Hospital Pulau Pinang, Hospital Balik Pulau, Hospital Bukit Mertajam, dan Hospital Sungai Bakap, semuanya berusia lebih satu abad.

“Beberapa fasiliti ini boleh dianggap sebagai “hospital ala muzium’ dan perlu dinaik taraf dengan segera untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang betul,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan keseluruhan untuk KKM  dalam Belanjawan 2025 meningkat 9.0% peratus kepada RM45.3 bilion.

Tambah beliau, peruntukan tinggi ini juga langkah positif yang akan meningkatkan semangat dan motivasi para petugas kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik.

“Pemberian peruntukan untuk klinik usang juga harus dipuji kerana dalam tempoh dua tahun lepas, banyak klinik desa telah dinaik taraf, dan ini pasti akan meningkatkan  keyakinan terhadap rawatan yang diberikan di fasiliti tersebut,” ujarnya.

Berkaitan duti eksais ke atas minuman bergula, Lingeshwaran berkata, pengumuman itu adalah langkah yang baik walaupun kedengaran agak negatif.

“Secara peribadi, saya lebih suka pendekatan yang positif, iaitu memberi insentif kepada rakyat untuk kekal sihat daripada menghukum mereka atas tingkah laku yang tidak sihat.

“Saya berharap syarikat minuman akan menawarkan harga lebih rendah untuk pilihan rendah gula atau tanpa gula supaya kita benar-benar dapat memberi peluang kepada rakyat mengurangkan pengambilan gula,” ujarnya.

Lingeshwaran juga memuji peruntukan RM25 juta untuk rawatan penyakit jarang berlaku sebagai keprihatin kerajaan terhadap keperluan rakyat.

“Penyakit ini sering diabaikan dan kos penyiasatan serta rawatannya sangat tinggi. Jadi pengecualian cukai perlu dipertimbangkan bagi syarikat yang tampil untuk membiayai NGO dalam memberi bantuan penyakit jarang berlaku yang sering berjuang sendirian.

“Manakala inisiatif Rakan KKM dan penswastaan, ini adalah sebahagian daripada usaha interim untuk menangani jurang pembiayaan kesihatan. Ia perlu disokong sepenuhnya sementara kita bergerak ke arah model pembiayaan kesihatan yang lebih mampan untuk negara.

“Mengenai kenaikan Elaun Oncall bagi Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian, terdapat peningkatan lebih daripada 25 peratus  dan Menteri Kesihatan harus dipuji kerana terus memperjuangkan isu ini.

“Walaupun jumlah keseluruhan masih kecil berbanding beban kerja yang dihadapi, ini adalah permulaan yang baik,” katanya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here