Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM320 juta untuk peningkatan capaian Internet, mampu menganjak produktiviti institusi pendidikan serta taraf hidup rakyat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, peruntukan RM120 juta untuk penambahbaikan liputan Internet di IPTA dapat membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan lebih berkesan.

Begitu juga peruntukan RM100 juta di bawah Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar akan membantu meningkatkan capaian Internet di sekolah desa dan pedalaman seluruh negara.

Selain itu, SKMM turut mengalu-alukan peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Peruntukan itu dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan dalam talian seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital, katanya.

Pada masa yang sama, rangkaian kedua 5G yang bakal diumumkan kelak berupaya meningkatkan daya saing industri tempatan sekali gus membolehkan mereka bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.

SKMM berkata, ia komited untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan
capaian Internet yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here