KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk memastikan tiada anak-anak terpinggir dalam menerima bantuan dan kemudahan di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 dengan pengumuman sejumlah besar kewangan kepada kementerian sememangnya sesuatu yang dinanti-nanti.
Katanya, pengumuman itu telah memberikan satu dimensi sangat besar terhadap komitmen pendidikan agar menjadi lebih baik dan inkulsif untuk masa depan anak-anak.
“Lihat pengumuman, anak kita semua dapat manfaat yang cukup besar daripada sekolah baru, kemudian inisiatif melibatkan kantin, musola (surau) termasuk Sabah dan Sarawak.
“…meneruskan komitmen baiki sekolah-sekolah daif dan kemudian pengumuman berkaitan 11 pusat Permata yang akan diberi tumpuan kedapa kanak-kanak autisme,dan dua sekolah yang akan ditubuhkan di Johor dan Sabah juga untuk sekolah melibatkan anak-anak autism,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Lestari Intervensi di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, berkait rapat dengan bantuan dan kebajikan persekolahan dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), ia juga menjadi komitmen penting kepada KPM untuk dijayakan.
“Secara keseluruhannya, saya sifatkan (Belanjawan 2025) sebagai belanjawan yang memenuhi keperluan semua anak-anak kita.
“…dan (saya) harapkan agar komitmen kita sejajar dengan kualiti pendidikan…harap dengan adanya komitmen besar daripada Kerajaan Madani, inilah kita mahukan dalam konteks terus memartabatkan pendidikan dalam negara,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM64.1 bilion kepada KPM berbanding RM58.7 bilion pada tahun lepas.
Menurut Perdana Menteri, peruntukan tersebut adalah yang tertinggi dalam Sejarah dan keutamaan diberi bagi memastikan ruangan pembelajaran yang selesa, selamat untuk anak-anak menimba ilmu.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 bilion yang disediakan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara. – MalaysiaGazette