SHAH ALAM – Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTMLaw) Shah Alam baru-baru ini menganjurkan Legalpreneurship Awareness Workshop satu program intensif selama tiga hari yang bertujuan untuk memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar undang-undang.
Inisiatif ini disokong oleh firma guaman terkemuka Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), bersama beberapa rakan strategik lain seperti HWAM Sdn. Bhd., Triplezen PLT, dan Goldsky Sdn. Bhd.
Program ini akan memberi peluang kepada 20 pelajar undang-undang UiTM yang terpilih untuk menjalani latihan komprehensif yang merangkumi kemahiran keusahawanan dalam undang-undang dan penyediaan dokumen praktikal.
Bengkel ini menampilkan tiga modul utama yang meliputi bidang amalan undang-undang penting seperti dokumentasi undang-undang, proses pemindahan hak milik, transaksi pinjaman, serta perancangan harta pusaka Islam.
Objektif program ini untuk membekalkan pelajar dengan latihan praktikal, meningkatkan kesedaran tentang peluang keusahawanan dalam sektor undang-undang, dan membuka peluang menjana pendapatan melalui kemahiran yang diperoleh.
Majlis pelancaran bengkel ini akan disempurnakan oleh Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni). Turut hadir, Datuk Wan Azmir Wan Majid, yang akan berkongsi kepakaran beliau dalam amalan undang-undang serta strategi pemasaran.
Program ini diharap dapat mencorak pemikiran pelajar undang-undang UiTM ke arah lebih inovatif, sekaligus memanfaatkan kemahiran undang-undang mereka untuk menjadi legalpreneur yang berjaya. – MalaysiaGazette