Hugo Chai (kiri) dan Nor Badrul menunjukkan dokumen MoA di UM, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR –  Universiti Malaya (UM) dan TP-Link Malaysia menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan sistem WiFi terkini yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).

Langkah inovatif itu menjadikan UM sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi WiFi 7 terkini dengan menawarkan kelajuan yang pantas, keselamatan yang dipertingkatkan dan sambungan tanpa gangguan.

Ia sekali gus menetapkan penanda aras baharu untuk pembelajaran dan penyelidikan digital di kampus.

Ketua Pegawai Maklumat UM, Prof Ts Dr Nor Badrul Anuar Jumaat berkata, kerjasama selama tiga tahun ini akan menyaksikan TP-Link menyediakan peralatan dan sokongan teknikal bernilai sehingga RM300,000.

“Pelancaran projek ini mencerminkan dedikasi UM untuk menerima pakai teknologi canggih yang memacu kecemerlangan akademik dan menempatkan universiti di barisan hadapan inovasi,” katanya kepada media pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Serantau TPLink Malaysia, Hugo Chai.

TP-Link Malaysia akan melengkapi kawasan utama di FCSIT, termasuk Dewan Kuliah 1, Dewan Kuliah 2, dan makmal pembelajaran rangkaian dengan teknologi Wi-Fi 7.

TP-Link Malaysia akan melengkapi kawasan utama di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FCSIT), termasuk Dewan Kuliah Satu, Dewan Kuliah Dua dan makmal pembelajaran rangkaian.

Sistem itu juga akan menyediakan akses internet yang pantas dan boleh dipercayai kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik, selain mampu bertindak balas secara automatik terhadap ancaman keselamatan.

Sementara itu, Chai berkata, rangkaian WiFi 7 berkuasa AI ini bukan sahaja akan meningkatkan akses internet, tetapi membolehkan pemantauan keselamatan yang lebih baik, pengurusan rangkaian yang lebih cekap dan analitik data melalui teknologi AI.

“Kami juga sedang dalam usaha memperbaiki infrastruktur WiFi di kampus, terutamanya di kolej kediaman di mana inisiatif ini disokong dengan peruntukan kewangan daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), serta Rancangan Pelaksanaan (RP) Keempat dan Kelima, yang bertujuan memperbaiki sambungan WiFi di sini.

“Komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan infrastruktur WiFi ini sangat jelas dan berterusan, dengan kerjasama daripada pembekal perkhidmatan dan industri seperti TP-Link, kerjasama ini akan membuka peluang kepada universiti untuk mempertimbangkan produk lain yang boleh membantu memperkukuhkan infrastruktur WiFi di kampus,” katanya.

Beliau berkata, dengan kerjasama ini, UM berharap TP-Link dapat menawarkan lebih banyak bukti konsep (POC) bagi memberikan peningkatan yang signifikan untuk kemudahan pelajar. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here