Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Perasmian Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA’2024) di AEON Alpha Angle Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kawasan Parlimen Wangsa Maju bakal memiliki sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) yang baharu dan akan dibangunkan menerusi pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, pembinaan IPD berkenaan akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 penduduk di kawasan Parlimen itu.

Katanya, ketika ini, penduduk di kawasan  berkenaan menggunakan khidmat keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kedudukan ibu pejabatnya terletak di Jalan Pudu.

“Kalau kita lihat kawasan yang dibawah IPD Wangsa Maju ini ada lebih kurang 57 (kediaman) kedutaan dan 30 kediaman duta-duta asing.

“Jadi, ini kawasan yang penting dan keutamaan yang telah diberikan oleh kerajaan dalam membina (IPD) menerusi rolling plan kelima dalam RMK-12 adalah satu keputusan yang tepat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Lestari Intervensi Awal 2024, di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju hari ini.

Beliau mengiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang merasmikan majlis itu.

Mengulas lanjut, Zahir berkata, pembinaan sebuah IPD di kawasan Parlimen berkenaan adalah satu keperluan kerana kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi berbanding kawasan-kawasan lain.

Katanya, bagi setiap satu kilometer persegi terdapat lebih kurang 13,547 orang penduduk dan ia jelas menunjukkan Wangsa Maju perlu mempunyai IPD sendiri.

Jelas beliau, IPD Wangsa Maju kini memberikan khidmat kepada tiga kawasan Parlimen termasuk Setiawangsa dan Titiwangsa.

“Jadi, itu adalah satu kawasan Parlimen yang padat…kepadatan itu memerlukan keselamatan, perkhidmatan dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here