Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Dato' Sri Hajah Nancy Shukri berucap pada Majlis Kesedaran Kanser Payudara (Body Perfect's The Power Of Pink 2024) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Renaissance Kuala Lumpur Hotel. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan undang-undang bagi memenuhi kuota 30 peratus calon wanita masih memerlukan persetujuan menyeluruh daripada semua parti politik.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau menyokong cadangan ini tetapi ia hanya boleh berlaku jika parti-parti politik besar bersetuju.

“Kita tidak boleh hanya bercakap untuk kelihatan popular. Semua pemimpin politik perlu bersetuju dahulu sebelum perubahan dibuat di dalam Perlembagaan.

“Jika mereka memberi sokongan, maka kita boleh laksanakannya. Tetapi, ia mesti bermula daripada pihak atasan,” katanya.

Nancy berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Kesedaran Kanser Payudara: Body Perfect’s The Power of Pink 2024 di Renaissance Hotel, di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan memberi sokongan berterusan terhadap idea ini yang menunjukkan pemerkasaan wanita walaupun usaha ini masih dalam proses.

“Sebagai wanita, usaha kita tidak boleh berhenti di sini dan menyokong idea itu.

“Apa yang pasti, idea itu hanya boleh direalisasikan dengan persetujuan semua pihak,” tambahnya.

Sebelum ini, Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Seri Aiman Athirah Sabu  meminta pindaan segera bagi Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya untuk memasukkan peruntukan peraturan minimum 30 peratus calon wanita.

Lantaran itu, beliau meminta Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya segera dipinda untuk memasukkan peruntukan peraturan minima 30 peratus wanita sebagai calon.

“Sama ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang) boleh membawa cadangan ini dengan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri atau Nota Jemaah Menteri di Mesyuarat Kabinet yang akan datang,” kata Aiman Athirah.

Ahli Parlimen Sepang itu juga telah mengemukakan pandangan tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here