KUALA LUMPUR – Permohonan hak penjagaan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah perlindungan Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) kini timbul masalah baharu apabila wujud kes perebutan antara ibu dan bapa anak-anak tersebut.
Berikutan itu, permohonan yang diajukan ke mahkamah menjadi rumit apabila kedua-dua ibu dan bapa membuat hak penjagaan secara berasingan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Kami sebagai pihak yang bertanggungjawab perlu lebih berhati-hati dalam isu ini. Jika kami serahkan anak kepada bapa, ibu pula yang datang akan datang menuntut.
“Oleh sebab itu, kami perlu mengadakan sesi temubual dengan kedua-dua belah pihak untuk membantu buat keputusan, di mana jatuhnya hak penjagaan anak itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Kesedaran Kanser Payudara: Body Perfect’s The Power of Pink 2024 di Renaissance Hotel, di sini, hari ini.
Katanya, pertikaian dalam hak penjagaan kanak-kanak yang diselamatkan ini tidak hanya melibatkan ibu bapa mereka.
Malah, ada kes melibatkan perkahwinan terdahulu yang mencetuskan kebimbangan ibu kemungkinan anak mereka dijaga atau dipelihara oleh ibu tiri.
Menyifatkan kes anak-anak ini sesuatu yang kompleks, Nancy berkata, kementeriannya perlu membuat keputusan yang adil dan tepat demi memastikan kebajikan anak-anak ini terbela.
Menurut beliau, setakat ini tiada lagi kanak-kanak yang diselamatkan itu diserahkan kepada keluarga mereka kerana kementerian perlu mendapatkan kepastian dan jaminan keselamatan untuk anak-anak tersebut.
“Justeru, setiap prosedur undang-undang perlu dipatuhi untuk memastikan anak-anak diserahkan kepada mereka yang berhak,” tambahnya. – MalaysiaGazette