Pemandu maut manakala penumpang tercedera di kepala selepas kereta dipandunya terbabas dan hangus terbakar dalam kejadian di NPE pagi Ahad. Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Kemalangan maut membabitkan seorang lelaki yang kereta dipandunya terbakar di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) pagi tadi berlaku selepas kenderaanya hilang kawalan dan terbabas sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa ketika dihubung berkata, pihaknya menerima panggilan kemalangan itu lebih kurang 9.24 pagi.

“Ketika kejadian kereta Toyota Corolla Altis dipandu seorang lelaki berumur 28 tahun dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan antara susur lebuh raya yang menghala ke Petaling Jaya menyebabkan keretanya terbakar keseluruhan,” katanya hari ini.

Mangsa bersama seorang penumpang difahamkan sedang dalam perjalanan dari Kuchai Lama menuju ke Pantai Dalam melalui NPE.

Tambah Mohd Zamzuri, akibat insiden itu mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hosptal Kuala Lumpur (HKL).

“Manakala penumpang lelaki 24 tahun cedera di kepala dan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan selanjutnya.

Kes telah diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here