Seorang maut manakala satu lagi cedera selepas kereta yang dinaikinya terbakar dalam kemalangan di NPE menghala ke Pantai Dalam pagi Ahad.Ihsan Bomba KL

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam nahas jalan raya di ibu negara hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kilometer 14.9 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) arah Barat dari Kuchai lama menghala ke Pantai Dalam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sohirol Rizal Madon berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan tentang kemalangan maut itu sekitar jam 8.28 pagi tadi.

Katanya, bertindak atas panggilan itu, seramai sembilan anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi nahas, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios terbakar berpunca daripada kemalangan jalan raya.

“Kebakaran dianggarkan 100 peratus dan pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Tambah beliau, mayat mangsa nahas telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Dalam kejadian sama seorang lagi lelaki berusia 24 tahun mengalami cedera ringan.

“Mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here