Sukarelawan bergambar kenangan bersama peserta program.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan (JDPI), Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) mengadakan program khidmat komuniti di Sekolah Alternatif, Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah yang diasaskan oleh Borneo Komrad.

Program ini bertujuan menyantuni pelajar tanpa kerakyatan yang menghadapi halangan untuk mendapat pendidikan formal.

Dalam masa yang sama, pengisian program diisi dengan slot yang memberikan sokongan moral dan bimbingan dalam 3M+1 iaitu membaca, menulis, mengira, dan mngaji, sambil mengukuhkan kefahaman asas Islam dalam kalangan pelajar.

Seramai 15 orang mahasiswa menjadi sukarelawan dalam program ini, yang melibatkan hampir 30 pelajar.

Dengan tema “Pendidikan Untuk Semua,” para sukarelawan melihat pendidikan sebagai
kunci utama untuk mengubah masa depan, sesuai dengan prinsip Islam yang menggalakkan umatnya terus menuntut ilmu.

Selain memberi pendedahan akademik, program ini memupuk nilai-nilai kasih sayang, empati, dan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dalam mengubah nasib komuniti yang terpinggir.

Pengarah program, Azamuddin Ali berkata, program ini bukan sekadar memberi
pendedahan kepada mahasiswa mengenai isu pendidikan bagi kanak-kanak tanpa
kerakyatan, tetapi juga membuka ruang kepada mereka untuk mengaplikasikan konsep
pembelajaran yang dipelajari dalam situasi sebenar.

“Antara objektif kami adalah untuk memberikan motivasi kepada anak-anak ini agar mereka memahami bahawa status mereka bukanlah penghalang kepada cita-cita.

“Kami ingin menanamkan kesedaran bahawa pendidikan adalah kunci kepada perubahan masa depan. Selain itu kefahaman asas Islam turut diterpakan dalam setiap modul dan pengisian program,” katanya.

Modul pendidikan yang diisi dalam program ini menggunakan pendekatan Fun Learning dan
Game-Based Learning. Salah satu aktiviti yang dilaksanakan ialah Modul Klinik Al-Fatihah,
yang menggunakan pendekatan Fun Learning.

Melalui kaedah pembelajaran ini, pelajar lebih mudah memahami konsep-konsep agama Islam dalam suasana yang interaktif dan menyeronokkan.

Elemen permainan turut digunakan untuk mengaitkan asas Islam dengan kehidupan seharian pelajar. Modul ini juga menekankan nilai kerjasama dan semangat berpasukan, yang membantu membentuk sahsiah pelajar.

Pendekatan ini menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, memudahkan mereka memahami nilai-nilai Islam dengan cara yang lebih santai.

Bagi kebanyakan pelajar sekolah alternatif, program ini sangat berharga kerana memberi
mereka pendedahan baru dalam pendidikan.

Ramai pelajar menyatakan pendidikan adalah kunci untuk melindungi diri daripada dieksploitasi atau dipergunakan dan memberi peluang untuk menyumbang kepada masyarakat.

Para sukarelawan turut mengadakan sesi motivasi yang menekankan bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan dan membuka peluang masa depan yang lebih cerah.

Slot khas “Arah dan Aspirasi” memberi penekanan kepada peranan pendidikan dalam Islam yang menuntut umatnya untuk mencari ilmu sepanjang hayat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast