MELAKA – Seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah maut, manakala dua lagi cedera dalam nahas yang berpunca ketika mengelak lopak air di Jalan Persisiran Pantai Klebang, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi membabitkan lima buah motosikal itu, mangsa Muhammad Amirul Mohd Sukri, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kesemua lima penunggang motosikal terbabit dalam perjalanan dari Pusat Bandar Melaka menghala ke Klebang.
“Nahas dipercayai berlaku apabila salah sebuah motosikal berkenaan cuba mengelak lopak air sebelum mereka bergesel sesama sendiri.
“Akibatnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC terjatuh di lorong kanan jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di muka dan kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, dua lagi penunggang motosikal pekerja loji penapisan minyak di Sungai Udang masing-masing berusia 19 tahun mengalami luka di seluruh badan.
“Kedua-dua mereka dirawat di zon hijau Hospital Melaka, manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Christopher berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kejadian.
“Siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan tiada saksi bebas atau rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette