SST tidak akan dikenakan terhadap makanan asas yang dibeli kebanyakan rakyat sebaliknya ia akan dilaksanakan terhadap makanan-makanan bukan penting seperti salmon dan avocado.

KUALA LUMPUR- Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka membolehkan kerajaan mendapat perolehan cukai lebih tinggi sebanyak RM47 bilion pada 2025 berbanding RM41 bilion tahun ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Afzanizam Abdul Rashid.

“Dengan mengambil kira unjuran Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025, kerajaan dijangka mampu mengutip lebih banyak cukai dan seterusnya mengurangkan defisit fiskal,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 Jumaat lalu mengumumkan, SST akan dilaksanakan dengan lebih progresif namun tidak akan membebankan kebanyakan rakyat.

Katanya, SST tidak akan dikenakan terhadap makanan asas yang dibeli kebanyakan rakyat sebaliknya ia akan dilaksanakan terhadap makanan-makanan bukan penting seperti salmon dan avocado.

Tambahnya, skop SST juga akan diperluas kepada perkhidmatan komersial seperti fi perkhidmatan kewangan.

Peluasan skop SST akan dilaksanakan bermula 1 Mei tahun depan.

Dalam pada itu, Dr Afzanizam berpendapat, kerajaan mengambil pendekatan berhemah semasa membentangkan Belanjawan 2025 bagi memastikan defisit fiskal berjaya diturunkan secara berperingkat.

Ini dapat dilihat menerusi peluasan skop SST dan penyasaran subsidi RON95.

Bagaimanapun katanya, impak pelaksanaan penyasaran subsidi RON 95 diimbangkan dengan penambahan bantuan tunai kepada rakyat yang layak.

“Pada masa sama, peruntuhan bagi program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini manakala kadar gaji minimum dinaikkan sebanyak RM200 kepada RM1,700 bermula 1 Februari depan,” katanya lagi.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal secara konsisten daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada lima peratus (2023) seterusnya anggaran 4.3 peratus (2024) dan unjuran 3.8 peratus (2025).

Katanya, langkah-langkah tegas untuk mengurangkan defisit kerana hutang negara akan meningkat selagi defisit tidak dikurangkan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here