sebuah kenderaan yang tular insiden langgar lari seorang penunggang motosikal dalam insiden nahas di Lebuhraya Silk pada Sabtu sedang dikesan polis.

KAJANG – Polis sedang mengesan sebuah kenderaan dan pemandunya yang disyaki terlibat dalam insiden langgar lari penunggang motosikal dalam nahas jalan raya semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu tular di media sosial,  memaparkan motosikal yang sedang melalui lorong laju tiba-tiba dihimpit sebuah kereta berwarna silver dari arah belakang dan dilanggar lari tanpa berhenti.

Kejadian itu berlaku hari Sabtu (semalam), jam lebih kurang 4 petang di Kilometer 3 Lebuhraya Silk ke arah Balakong.

Bagaimanapun, nombor pendaftaran itu tidak dapat dipastikan.

“Siasatan awal polis mendapati, kemalangan disyaki berlaku apabila penunggang yang membawa motosikal di lorong paling kanan tiba-tiba didatangi sebuah kereta dari arah belakang.

“Kenderaan itu memotong lalu menghimpit serta melanggar penunggang motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ekoran perlanggaran itu, penunggang motosikal berusia 45 tahun terjatuh dan cedera parah di kepala.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

Polis memohon kerjasama dan menyeru kepada orang ramai yang mempunyai melihat atau maklumat berkaitan kejadian berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ammar Mohd Tahir di talian 018-2586153 untuk tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here