Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-22 menyaksikan seramai 2,775 graduan diraikan

 

KUALA NERUS – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa bangga dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kerana menunjukkan perkembangan dan kemajuan yang membanggakan berdasarkan prestasi dan indikator yang digunakan dalam penarafan universiti.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT bertitah, walaupun masih muda dari segi usia, UMT kini dapat berada sebaris dengan universiti yang lebih lama.

Sebagai sebuah universiti berfokus, UMT telah membina dan mempunyai jenamanya yang tersendiri.

“Beta yakin bahawa UMT akan terus melonjak sebagai institusi pendidikan tinggi di
peringkat global dan mampu menterjemahkan peranannya yang besar dalam pembinaan
modal insan negara.

“Beta menyeru supaya dapat meningkatkan kualiti akademik dalam aspek pengajaran
supaya relevan dengan perkembangan semasa. Ini termasuklah penggunaan teknologi
kecerdasan buatan (AI) yang boleh diintegrasikan dalam sektor pendidikan tinggi untuk hasil yang lebih adaptif dan optimum.

“Raikanlah kejayaan pada hari ini dengan penuh rasa syukur dan rendah diri. Hargailah jasa ibu-bapa dan para pensyarah yang telah banyak berkorban demi kejayaan semua,” titah baginda dalam Upacara Pembukaan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-22 UMT di Dewan Sultan Mizan di sini hari ini.

Antara graduan sarjana UMT yang diraikan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat pada majlis
tersebut.

Dalam pada itu Sultanah turut bertitah supaya para graduan meneruskan usaha meneroka lautan ilmu tanpa henti. Sikap segelintir pihak dalam masyarakat yang mempersoalkan kepentingan pendidikan tinggi perlu dihentikan.

“Pendidikan adalah satu proses pemugaran manusiawi yang mempunyai elemen budi dan
bakti. Ia bukanlah bersifat jual-beli kerana ia mempunyai hikmah yang membangunkan
pemikiran dan sahsiah peribadi”. titah baginda.

Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-22 menyaksikan seramai 2,775 graduan diraikan dalam
enam sesi bermula hari ini hingga selasa.

Mereka terdiri daripada 242 graduan pasca siswazah yang terdiri daripada 89 graduan PHD dan 153 graduan sarjana.

Manakala seramai 2,533 graduan pra siswazah yang terdiri daripada 2,432 graduan sarjana muda dan selebihnya 101 graduan diploma. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here