ALOR GAJAH – Lebih 1,000 penduduk di dua buah taman bersebelahan Kampung Bukit Tampoi, Kelemak di sini kini hidup dalam ketakutan susulan kejadian enam ternakan kambing menjadi mangsa serangan dipercayai harimau kumbang, Sabtu lalu.
Malah, ada penduduk mendakwa ternampak kelibat haiwan pemangsa itu melintas jalan menuju kandang kambing dan lembu kampung berkenaan tengah malam tadi.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mutiara, Ismail Kassim, 67, berkata, kira-kira 300 buah keluarga di taman itu dan Taman Sutera yang terletak bersebelahan kandang ternakan terbabit hidup dalam ketakutan.
“Tambahan pula kejadian ini tular di media sosial membuatkan kami tidak berani untuk keluar rumah jika tiada urusan penting.
“Kanak-kanak pun tak berani untuk bermain di luar rumah malah penduduk juga takut untuk keluar solat berjemaah di surau,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Penduduk kampung, Mohd Shukor Md Jali, 38, berkata, dia terkejut apabila ternampak kelibat seolah-olah harimau kumbang melintas jalan utama dari kawasan hutan menuju ke kawasan kandang kambing penduduk kira-kira jam 12.30 malam tadi.
“Waktu itu saya baru lepas balik memancing sebelum ternampak kelibat hitam seperti harimau kumbang ketinggian paras pinggang lelaki dewasa melintas jalan.
“Kejadian berlaku begitu pantas ketika saya sedang memandu dan mujurlah tiada kenderaan lain merempuh haiwan liar berkenaan ketika itu,” katanya.
Penternak kambing, Ab Razak Ab Rahim, 34, berkata, dua pegawai daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka sudah mengadakan lawatan ke kawasan sekitar dan kandangnya tengah hari tadi.
“Setakat ini, mereka masih menyiasat apakah benar kejadian yang pertama kali berlaku di kandang saya ini akibat serangan harimau kumbang atau anjing liar.
“Saya harap dapat menemui jawapan selepas Perhilitan memasang dua unit kamera di kawasan ini untuk mengesan jenis haiwan yang melakukan serangan ini,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu yang menyebabkan enam ternakan kambingnya di dalam kandang mati, dia kerugian hampir RM5,000.
Malah, dia juga terpaksa memindahkan sementara baki lima ekor kambingnya yang terselamat ke kandang rakannya di Kampung Panchor, di sini.
“Saya takut kalau diletakkan di sini, haiwan itu akan datang menyerang kali kedua kerana saya merasakan ia adalah perbuatan harimau.
“Ini berdasarkan keadaan bangkai kambing jantan saya seberat hampir 30 kilogram mampu diangkat keluar dari kandang yang berkunci dan ditemukan atas tanah kira-kira 100 meter dari kandang,” katanya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan enam ekor ternakan kambing ditemukan mati dipercayai diserang harimau kumbang pagi Sabtu lalu.
Ketika ditemukan di kandang pukul 10 pagi, kesemua bangkai kambing berkenaan dalam keadaan badan sudah dirobek dan dimakan haiwan liar. – MalaysiaGazette