Tertuduh Abdul Azam Abdul Hamid, 34 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki, Februari lalu.

MELAKA – Seorang guru qasidah sambilan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki, Februari lalu.

Tertuduh Abdul Azam Abdul Hamid, 34 bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah sebaik tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan cara menyuruhnya memegang kemaluan seorang lagi kanak-kanak lelaki lain berusia 12 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyuruh perbuatan sama dilakukan oleh kanak-kanak berusia 12 tahun terhadap mangsa sama berusia 11 tahun.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh telah menyuruh kanak-kanak sama berusia 11 tahun memegang kemaluan tertuduh dan melakukan onani sehingga dia mengeluarkan air mani.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat qasidah di Taman Merak Mas, Bukit Katil di daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 1.30 pagi 3 Februari lalu.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.

Difahamkan tertuduh adalah penjawat awam sebagai pembantu perubatan sebuah hospital di Melaka dan melakukan kerja sambilan sebagai guru qasidah di pusat berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM20,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara bagi ketiga-tiga pertuduhan serta syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana berasal dari keluarga susah selain ayah yang baru berhenti kerja dan dia terpaksa menanggung keluarga.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 18 November ini – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast